Kor dan Regimen Tentera Darat Malaysia (TDM) Yang Mempertahankan Kedaulatan Negara

Edit


Sejarah moden Tentera Darat Malaysia bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai Kompeni percubaan Pasukan Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Rejimen ini terus berkembang menjadi batalion penuh dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938. Batalion Kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya.

Kedua-dua batalion ini menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun. Selepas perang, negara dilanda ancaman Komunis dan Darurat telah diisytiharkan tahun 1948. Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion.
Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tentera Darat telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi. Tentera Darat Malaysia dipermodenkan menjadi satu pasukan tentera unuk tititpeperangan konvensional.

1) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)

Rejimen Askar Melayu Diraja adalah rejimen tertua dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu DiRaja bersama-sama dengan Rejimen Renjer Diraja merupakan pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan pasukan terunggul di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pada kemuncaknya, pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 27 batalion. Rejimen Askar Melayu Diraja kini mempunyai kekuatan 26 batalion.





2) Rejimen Renjer Diraja (RRD)

Rejimen Renjer Diraja (RRD) adalah salah satu daripada Kor Infantri yang telah ditubuhkan pada 16 Mac 1963. RRD memngandungi 9 batalion yang mana satu batalion sebagai batalion para, satu batalion sebagai battalion mekanis, dan selebihnya adalah batalion infantri standard. RRD juga merupakan kor yang kedua terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia selepas RAMD. Perbezaannya dengan RAMD adalah keanggotaan RRD terdiri daripada berbagai kaum dan agama di Malaysia.







3) Kor Armor Diraja (KAD)

Kor Armor Diraja bermula dengan tertubuhnya Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada 1 September 1952. Skuadron ini telah diperbesarkan kepada Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dalam tahun 1957. Dalam tahun 1960, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan telah dicantumkan dengan Rejimen Persekutuan, sebuah batalion infanteri. Percantuman ini melahirkan Kor Peninjau yang telah dikurniakan gelaran Diraja pada 20 Mei 1972. Pada 22 Disember 1979 Kor Peninjau Diraja telah ditukarkan nama menjadi Kor Kavalri Diraja. Tugas kor ini ialah menjalankan operasi secara "serangan" dan "pertahanan" dengan sentiasa menyediakan bantuan perisai kepada Tentera Darat. Cogankata Kor Armor Diraja ialah Bersatu.






4) Rejimen Artileri Diraja (RAD)

Rejimen Artileri Diraja ditubuhkan di Kajang pada 15 Ogos 1957 dengan satu Bateri dimana sebahagian besar anggota-anggotanya ketika itu terdiri daripada bekas anggota Artileri Diraja yang pernah berjuang di Pulau Belakang Mati, Singapura semasa Perang Dunia II. Peranan Rejimen Artileri Diraja adalah untuk memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan tempur di medan pertempuran supaya pihak musuh tidak dapat mengganggu operasi pasukan sahabat atau tidak dapat mengatur rancangan operasi mereka dengan efektif.



5) Rejimen Semboyan Diraja (RSD)


Rejimen Semboyan Diraja adalah sebuah rejimen Bantuan Tempur di dalam Tentera Darat Malaysia. Tugas utama RSD ialah menyedia dan menyelenggarakan komunikasi untuk perintah dan kawalan Tentera Darat. Di samping itu, RSD juga terlibat di dalam menyediakan bantuan Peperangan Elektronik kepada Tentera Darat. RSD bertanggungjawab menyedia dan mengekalkan semua saluran komunikasi diantara markas-markas formasi hingga ke pasukan di peringkat taktikal Tentera Darat Malaysia. RSD juga bertanggungjawab menguruskan semua aspek perlaksanaan peperangan elektronik dan sistem amaran awal untuk Tentera Darat Malaysia.

6) Kor Pasukan Elit dan Pasukan Khas TD

Tentera Darat Malaysia mempunyai 1 unit dalam Kor Pasukan Elitnya iaitu 10 Briged Para dan Pasukan Khas TD iaitu Rejimen Gerakhas

a) 10 Briged Para

10 Briged Para merupakan sebuah pasukan elit Tentera Darat Malaysia yang terdiri pelbagai cabang kor ATM yang berpengkalan di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka dan sebahagian daripada elemen utama Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani keganasan dan ancaman pihak musuh dengan menggunakan jumlah keanggotaan yang ramai. Cogankata 10 Briged Para adalah Tindak Pantas.





b) Rejimen Gerak Khas (RGK)

Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit TDM yang paling digeruni. Ditubuhkan pada 1 Ogos 1965 di Kem Majidee, Johor Bharu. Rejimen pada mulanya dikenali sebagai Malaysian Special Service Group (MSSG), dan dalam tahun 1969 telah diperbesarkan menjadi satu Rejimen yang dikenali dengan nama Rejimen Pertama Gerak Khas Malaysia (1 RGKM). Tugas Rejimen Gerak Khas ini ialah menjalankan operasi tertentu secara bebas melalui darat, laut dan udara. Cogankata Rejimen Gerak Khas adalah Cepat Dan Cergas. GGK pernah terlibat dalam beberapa siri operasi berprofil tinggi termasuklah operasi menyelamat pasukan Delta Force dan Renjer Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia yang mengakibatkan 2 anggota GGK terkorban dalam operasi yang digandingkan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja dan tentera Pakistan. RAMD juga turut kehilangan seorang anggotanya dalam operasi tersebut.





7) Kor Perkhidmatan Am (KPA)

Kor Perkhidmatan Am diwujudkan dalam tahun 1954 dengan nama The Federation General Service Corps. Bahagian-bahagiannya ketika itu ialah Pejabat-pejabat Rekod, Gaji, Perubatan, Pelajaran dan Perisikan. Nama pasukan Perkhidmatan Am dikuatkuasakan pada 1 Julai 1958. Bahagian-bahagian Perubatan dan Perisikan kemudian berpisah dan menubuh kor yang berasingan. Pasukan Perkhidmatan Am dengan rasminya menjadi Kor Perkhidmatan Am pada 1 Mei 1972. Kor ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan khidmat dari segi Urusan Gaji, Pekeranian, Pelajaran dan Perhubungan Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia. Cogankata Kor Perkhidmatan Am ialah Berbakti



8) Kor Polis Tentera Diraja (KPTD)

Kor Polis Tentera Diraja telah ditubuhkan pada 12 November 1953 dikenali sebagai Polis Tentera Persekutuan dan diletakkan dibawah pemerintahan dan Pentadbiran Royal Military Police, British Army. Pasukan kecil ini ditugaskan khas untuk menyelenggarakan tatatertib Tentera Darat sahaja. Dewasa ini Kor Polis Tentera Diraja telah berkembang dan memainkan peranan penting meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, bertanggungjawab terhadap undang-undang, peraturan-peraturan dan perintah-perintah tentera. Kecekapan Kor ini adalah selaras dengan cogankatanya Sedia Berkhidmat.

9) Kor Kesihatan Diraja (KKD)

Kor Kesihatan Diraja adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pergigian yang berkualiti kepada seluruh warga ATM. Perkembangan perkhidmatan kesihatan dan pergigian angkatan tentera menyaksikan penubuhan unit-unit perubatan seperti RSAT, PPAT, PGAT, Institusi latihan seperti INSAN, IPP, Institut Perubatan Bawah Air dan Hospital Angkatan Tentera. Penglibatan KKD melalui projek-projek jiwa murni telah dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan rancangan pembangunan Negara. Khidmat bakti perkhidmatan kesihatan dan pergigian terus berkembang maju dengan penglibatan KKD dalam misi PBB dan bantuan kemanusiaan demi keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat.

10) Kor Risik DiRaja (KRD)

Kor Risik Diraja ditubuhkan secara rasminya pada 7 November 1969 bagi menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya yang melancarkan dasar ketenteraan dan merancang pemberontakan bersenjata mulai 1949. Semua organisasi unit perisikan dalam angkatan tentera telah disatukan di dalam satu kor pada tahun 1969 dan semenjak penubuhannya Kor Risik amat disegani atas kemampuan dan kebolehannya sebagai sumber perisikan kepada pertahanan negara dan pencerobohan kegiatan subversif pihak musuh terutamanya di era penentangan pengganas komunis.

11) Kor Perkhidmatan Diraja (KPD)

Kor Perkhidmatan Diraja berasal dengan penubuhan Cawangan Bekal dan Angkut dalam bulan April 1957 sebagai satu bahagian dalam Army Service Corps (ASC). ASC telah ditukarkan nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) selaras dengan tugasnya memberi bantuan logistik kepada semua Perkhidmatan Angkatan Tentera. Pada 9 April 1965 AFMC telah dibubarkan dan Pasukan Bekal dan Angkut Tentera telah ditubuhkan. Pasukan ini kemudian dikenali dengan nama Kor Perkhidmatan Diraja dan bercogankata Berkidmat Kepada Semua. Ditugaskan sebagai pasukan logistik Tentera Darat seperti Workshop dan kompeni angkut, kecuali senjata dan bekalan asas. Setiap briged terdapat satu kompeni angkut dan workshop briged. Manakala di dalam satu ketumbukan divisyen pula terdapat satu batalion angkut dan empat kompeni di dalamnya. Ini termasuklah seperti kompeni angkut itu sendiri, kompeni hantaran udara, kompeni bekalan dan kompeni markas. Di peringkat batalion ini ia diketuai oleh Leftenan Kolonel. Dan disetiap kompeni diketuai oleh pegawai berpangkat Mejar atau Kapten yang bertauliah.

12) Kor Ordnans Diraja (KOD)

Kor Ordnans Diraja bermula dengan penubuhan Malay Regiment Stores Depot pada 17 Julai 1964 di Port Dickson yang kemudiannya disatukan dengan lain-lain pasukan logistik, dalam bulan April 1957 dengan nama Army Service Corps (ASC). Berikutan dengan penubuhan Tentera Laut dan Udara Malaysia, ASC telah ditukar nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) pada 27 Mei 1958. Setelah AFMC dimansuhkan pada 9 April 1965, Kor ini telah dengan rasminya dinamakan Kor Kelengkapan Malaysia kemudian nya ditukarkan kepada Kor Ordnans Diraja. Cogankata Kor ini ialah Berkhidmat Membantu. Sebagai salah satu pasukan logistik di dalam Tentera Darat. Tugasnya ialah membekal senjata dan keperluan asas Tentera Darat. TLDM dan TUDM pula menguruskan pasukan logistiknya sendiri.



13) Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)

Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah ditubuhkan pada 22 April 1953. Seperti Kor-kor lain juga, RAJD telah mengalami berbagai perubahan sejajar dengan perkembangan dan pembesaran Tentera Darat Malaysia. RAJD bermula dengan peranan awal yang terhad dalam membantu operasi Tentera Persekutuan menentang komunis, khasnya dalam tugas-tugas memusnah bom, membersih kawasan periuk api, membina jalan, jambatan, landasan kapal terbang serta menyediakan bekalan air. Sekarang RAJD mampu memainkan peranan yang lebih luas dalam membantu pembangunan negara setelah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan peralatan dan jentera serta mempunyai pegawai-pegawai dan warga RAJD yang berkemahiran tinggi. 

14) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)

Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) adalah sebuah kor di dalam Tentera Darat Malaysia yang menguruskan dan mengendalikan hal ehwal keagamaan bagi ketiga-tiga cabang di dalam ATM. Penubuhan KAGAT bermula pada tahun 1979 dan apabila cadangan penubuhannya diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) semasa mesyuaratnya ke 197 iaitu pada 24 Januari, 1980. Pada 29 November 1984, MAT meluluskan Skim Perkhidmatan KAGAT. Pada 16 April, 1985 setelah mendapat perkenan SPB Yang Dipertuan Agong Ke-8, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, KAGAT dengan itu ditubuhkan secara rasmi. Pada 29 Mac, 1986 MAT telah meluluskan Syarat-Syarat Pertukaran Perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam yang berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam kepada KAGAT.

15)Rejimen Askar Wataniah (AW)

Askar Wataniah(AW) adalah badan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng ke dua dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara.HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.

16) Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD)

Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja berasal dari Army Service Corps (ASC) yang telah ditubuhkan dalam bulan April 1957. Berikutan dengan penubuhan Tentera Laut dan Udara Malaysia, ASC telah ditukar nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) pada 27 Mei 1958. Setelah AFMC dimansuhkan pada 9 April 1965, Kor ini telah dengan rasminya dinamakan Kor Jurutera Letrik dan Jentera dan bercogankata Bertukang Dan Berjuang.



17) Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)

Pasukan Udara Tentera Darat telah ditubuhkan pada 1 Julai 1994 apabila tertubuhnya Tim Projek Pasukan Udara Tentera Darat (Tim Projek PUTD). Tim Projek ini bertanggungjawab terhadap semua rancangan dan perlaksanaan penubuhan PUTD dan juga berfungsi sebagai 'cawangan udara' di Markas TD. Penubuhan PUTD telah dilancarkan dengan rasminya pada 11 Mac 1995 bertempat di Pangkalan TUDM, Kem Mahkota, Kluang, Johor. Sempena pelancaran tersebut, skuadron pertama PUTD iaitu No 881 Skn telah ditubuhkan. Asas penubuhan ialah penyerahan 10 buah helikopter SA 316B Alouette MK III oleh TUDM kepada TDM dan juga penyerahan sebahagian pangkalan TUDM Kluang. Pada Januari 1996, TUDM telah menyerahkan sepenuhnya pangkalan ini kepada TDM. Penubuhan PUTD adalah bagi meningkatkan lagi keupayaan TDM di dalam melaksanakan operasi-operasi menggunakan kekuatan daya tembakan dan mobiliti (Platform Udara). Kemahiran dalam bidang Juruterbang Helikopter, Kejuruteraan, Kawalan Trafik Udara, Pengurusan Logistik adalah di antara aspek yang terdapat dalam pasukan ini. 






18) Rejimen Sempadan (RS)

Rejimen Sempadan asalnya dari Rejimen Askar Wataniah Siri 300. Pada 12 Januari 2008 Rejimen Askar Wataniah Siri 300 dibubar kan dan ditubuhkan secara rasmi Rejimen Pengurusan Sempadan. Fungsi utama Rejimen Pengurusan Sempadan adalah di antaranya, untuk menjaga sempadan darat dengan Thailand. Berpengkalan di Kem Bukit Keteri,Perlis sebagai Markas Briged. Ketua Bagi Rejimen Sempadan ialah Brigedier Jeneral. Mengandungi 5 buah rejimen. Cogan kata Rejimen sempadan adalah Setia waspada.






Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment